Monday, May 26, 2008

WANITA PILIHAN..

Kelebihan dan keistimewaan wanita sememangnya sentiasa menjadi sebutan dan kebanggaan. Kelebihan dan keistimewaan ini akan menjadi lebih berharga jika dihiasi keimanan serta ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Lihatlah sahaja keperibadian Fatimah al-Zahra’, puteri Rasulullah s.a.w. yang sangat dikasihinya. Ketabahan, kesabaran dan keteguhan peribadinya menepati apa yang pernah dikatakan oleh ayahandanya, “Wahai Fatimah, sabarlah. Sesungguhnya sebaik-baik wanita ialah yang memberi manfaat kepada keluarganya”.

Fatimah r.a. membuktikan bahawa beliau bukan sahaja menyumbangkan bakti untuk keluarganya bahkan kepada seluruh keluarga generasi Muslim sehingga kini. Selain isteri salihah yang sangat bertanggungjawab, Fatimah juga diceritakan sentiasa membantu ayahandanya dalam apa juga keadaan terutama pada saat-saat yang genting. Umpamanya dalam peperangan Uhud, diriwayatkan daripada Sahl r.a. bahawa ia ditanya tentang luka yang dialami oleh Nabi s.a.w. Jawab Sahl, wajah Nabi s.a.w. terluka, gigi hadapannya patah dan serbannya koyak. Maka Fatimah membersihkan darah dan `Ali pula menyiramkan air. Kemudian apabila Fatimah mendapat tahu bahawa air hanya akan menyebabkan darah lebih banyak keluar, maka beliau mengambil sepotong tikar lalu dibakarnya sehingga menjadi abu kemudiannya ditampal pada luka tersebut, barulah darah berhenti.

Selain Fatimah al-Zahra’, Maryam binti `Imran dan Ratu Balqis juga merupakan antara wanita yang memiliki keperibadian yang cemerlang. Kekuatan jiwa dan semangat kental yang ada pada diri mereka wajar dijadikan teladan.

1. Maryam binti `Imran

Kisah wanita cekal ini diabadikan al-Qur’an dalam beberapa surah seperti Surah `Ali Imran dan Surah Maryam. Ibu Maryam bernazar apabila beliau melahirkan anak kelak (yang diharapkannya seorang lelaki), anaknya itu akan berkhidmat di Baitul Maqdis iaitu Masjid Aqsa. Walau bagaimanapun, beliau akhirnya melahirkan seorang anak perempuan iaitu Maryam. Maryam dewasa dan menjadi seorang wanita yang sangat jujur. Seluruh hidupnya dihabiskan untuk melaksanakan perintah Allah dan Maryam sentiasa memperoleh bimbingan serta perlindungan Allah; sesuai dengan doa ibunya yang menyerahkan Maryam kepada Allah s.w.t. sebagai nazarnya.

Terjemahan : “… Sesungguhnya aku telah menamai dia Maryam dan aku melindungkannya serta anak-anak keturunannya kepada (pemeliharaan) Engkau daripada syaitan yang terkutuk.”

(Surah Ali `Imran 3:36)

Maryam memperoleh kurniaan yang sangat besar ketika berusia tiga belas tahun. Jibril a.s. yang menjelma sebagai seorang lelaki membawa berita kepada Maryam bahawa beliau akan hamil dan melahirkan seorang putera yang diciptakan dengan kalimah yang datang daripada Allah. Berita kehamilan Maryam tersebar luas di kalangan Bani Isra’il dan ada di kalangan orang Yahudi yang menuduh Maryam melakukan perbuatan keji dengan Yusuf al-Najjar (yang dikatakan saudara sepupunya dan merupakan lelaki yang salih lagi tekun beribadah). Di samping itu, ada pula yang mengatakan bahawa Maryam melakukannya bersama Zakaria a.s., yang bertanggungjawab memelihara Maryam sesudah kematian bapanya, `Imran. Begitu hina dan zalimnya mereka yang melemparkan tuduhan sedemikian rupa kepada hamba-hamba Allah yang suci lagi bertaqwa kepada-Nya. Sesudah melahirkan `Isa, Maryam kembali kepada kaumnya. Kisah ini dirakamkan oleh al-Qur’an.


Terjemahan : “Maka Maryam membawa anak itu kepada kaumnya dengan mengendongnya. Kaumnya berkata, `Wahai Maryam, sesungguhnya kamu telah melakukan sesuatu yang amat mungkar.Wahai saudara perempuan Harun, bapamu sekali-kali bukanlah seorang yang jahat dan ibumu sekali-kali bukanlah seorang penzina.’

(Surah Maryam 19:27-28)

Dengan mukjizat kurniaan Allah s.w.t., Nabi `Isa a.s. yang masih bayi itu dapat berkata-kata untuk mempertahankan bondanya yang sememangnya seorang wanita suci. Dalam satu ayat lain, al-Qur’an menegaskan lagi kesucian diri Maryam:

Terjemahan : “Dan (ingatlah) ketika malaikat (Jibril) berkata, “Wahai Maryam, sesungguhnya Allah telah memilih kamu, menyucikan kamu dan melebihkan kamu atas semua wanita di dunia (yang semasa dengan kamu).”

(Surah Ali `Imran 3:42)

2. Balqis, Ratu Saba’

Kisah Balqis iaitu seorang ratu yang memerintah kerajaan Saba’ disebut dalam Surah al-Naml 27, ayat 27-44. Ibu kota Saba’ ialah Ma`arib yang terletak berhampiran kota San’a, ibu kota Yaman sekarang. Ratu Balqis dianugerahi Allah segala kekuasaaan dan kehebatan. Segalanya itu ialah dugaan dan ujian terhadap baginda serta kaumnya. Walau bagaimanapun, Ratu Balqis dan kaumnya masih tidak beriman dengan Allah s.w.t. Mereka yang diperdaya oleh syaitan menganggap bahawa perbuatan menyembah matahari adalah suci dan mereka terhalang daripada mendapat petunjuk Allah s.w.t. Kehebatan kerajaan Ratu Balqis diceritakan oleh burung hud-hud kepada Nabi Sulaiman a.s. Di sinilah bermulanya perundingan dan penawaran Nabi Sulaiman a.s. supaya Ratu Balqis menerima risalah Allah.

Dalam Surah al-Naml ayat 28, disebut:

Terjemahan : “Pergilah dengan (membawa) suratku ini lalu jatuhkan kepada mereka, kemudian berpalinglah dari mereka lalu perhatikanlah apa yang mereka bicarakan”.

Kewibawaan Ratu Balqis sebagai pemimpin terserlah apabila beliau mengamalkan prinsip syura dengan pembesar-pembesarnya iaitu setelah menerima surat daripada Nabi Sulaiman a.s. Ini dinyatakan oleh al-Qur’an:

Terjemahan : “Berkata dia (Balqis), `Wahai para pembesar, berilah aku pertimbangan dalam urusanku (ini), aku tidak pernah memutuskan sesuatu persoalan sebelum kamu berada dalam majlis(ku).’

Mereka menjawab, `Kita ialah orang yang memiliki kekuatan dan (juga) memiliki keberanian yang tinggi (dalam peperangan) dan keputusan berada di tanganmu, maka pertimbangkanlah apa yang kamu perintahkan.’

(Surah al-Naml 27:32-33)

Ratu Balqis seterusnya menyatakan pandangannya bahawa setiap pemerintah (raja) yang mahu menakluki sesebuah negeri akan membinasakannya dan menjadikan penduduknya hina. Pada fikirannya itulah yang akan menimpa kerajaan Saba’. Oleh itu baginda membuat keputusan supaya dikirimkan urusan yang membawa hadiah kepada Nabi Sulaiman a.s.

Apabila utusan tersebut sampai kepada Nabi Sulaiman a.s., baginda berkata, “Adakah (wajar) kamu menolong aku dengan harta? Apa yang diberikan Allah kepadaku adalah lebih baik daripada apa yang diberikanNya kepadamu; tetapi kamu berasa bangga dengan hadiah kamu. Kembalilah kepada mereka, sungguh kami akan mendatangi mereka dengan pasukan tentera yang mereka tidak berkuasa melawannya dan kami pasti akan mengusir mereka dari negeri itu (Saba’) dengan terhina dan mereka menjadi (tawanan) yang hina dina.” (Surah al-Naml 27:36-37)

Lantas Nabi Sulaiman menanyakan kesanggupan pembesar-pembesarnya untuk membawa singgahsana Ratu Balqis kepada baginda. Setelah dibawa sebelum sempat matanya berkedip, baginda memerintahkan supaya singgahsana tersebut dirobohkan untuk menguji sama ada Ratu Balqis masih mengenali singgahsananya itu atau tidak.

Kecenderungan tulus ikhlas Ratu Balqis untuk menyahut kebenaran dan seruan suci Nabi Sulaiman juga disebutkan oleh Al-Qur’an:

Terjemahan : “Seakan-akan singgahsana ini singgahsanaku. Kami telah diberikan pengetahuan sebelumnya* dan kami ialah orang yang berserah diri”.

(Surah al-Naml 27:42)

(*Maksudnya tentang kenabian Sulaiman a.s. Ratu Balqis telah mengetahui kenabian Sulaiman a.s. sebelum singgahsananya dipindahkan dari Saba’ ke Palestin dalam sekelip mata.)

Ratu Balqis turut mengakui kesilapan dirinya sebagai hamba Allah yang menzalimi diri sendiri kerana tidak beriman dengan-Nya. Dengan penuh keinsafan dan kerendahan hati, Balqis pun menyatakan keimanannya kepada Allah Yang Maha Berkuasa, Tuhan semesta alam.

Terjemahan : “Dikatakan kepadanya, `Masuklah ke dalam istana.’ Maka apabila dia melihat lantai istana itu, dianggapnya ia kolam air yang besar dan disingkapkannya kedua-dua betisnya. Berkatalah Sulaiman, `Sesungguhnya ia merupakan istana yang licin yang diperbuat daripada kaca.’ Berkatalah Balqis, `Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah, Tuhan semesta alam.’

(Surah al-Naml 27:44)

No comments: